17 DIS : Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang risiko dengan meredah air banjir demi keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata orang ramai juga dinasihat agar mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara.
Beliau berkata, situasi cuaca tidak menentu ketika ini memerlukan tahap kewaspadaan tinggi, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur yang berdepan risiko banjir dan peningkatan paras sungai.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarga.
“Jangan ambil mudah risiko banjir, elakkan meredah air deras dan pastikan aspek keselamatan diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, maklumat berkaitan cuaca dan situasi banjir perlu diperoleh hanya melalui saluran rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa agar lebih peka memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak, terutama ketika musim cuti sekolah yang bakal bermula.
“Pastikan anak-anak tidak bermain di kawasan berisiko seperti sungai, parit, longkang besar atau kawasan yang dinaiki air kerana kelalaian kecil boleh mengundang tragedi besar,” katanya.
Kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih menduduki baki peperiksaan sehingga 23 Disember ini, Ahmad Zahid mendoakan agar mereka kekal fokus dan menjaga keselamatan diri.
“Ibu bapa digalakkan merancang pergerakan anak-anak dengan teliti sekiranya perlu keluar rumah, terutamanya di kawasan yang terjejas banjir.
“Insya-Allah dengan sikap berhati-hati, keprihatinan dan kerjasama semua pihak, kita dapat mengurangkan risiko serta melindungi nyawa dan harta benda,” katanya.
*Foto: APM Negeri Perak