Pencapaian Kerajaan MADANI, PM akui masih ada kelemahan
17 DIS : Perdana Menteri secara terbuka mengakui masih wujud kelemahan dan ruang penambahbaikan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, meskipun pelbagai pencapaian berjaya direkodkan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga akur dengan pandangan, teguran dan kritikan yang diberikan.
“Alhamdulillah, kita meneruskan usaha reformasi sepanjang 2025, termasuk menerusi penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, RUU Perolehan Kerajaan serta penyasaran subsidi yang adil tanpa membebankan rakyat serta menutup ruang ketirisan.
“Di sebalik pencapaian ini, saya akui bahawa masih wujud kelemahan, kekurangan dan ruang penambahbaikan. Kerajaan MADANI akur dengan pandangan, teguran dan kritikan serta beriltizam untuk bekerja lebih keras pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pengarang dan wartawan media tempatan serta antarabangsa di Putrajaya, hari ini.
Ruang itu bagi beliau menjawab pelbagai persoalan termasuk rumusan pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tahun ini.
Menurut Anwar, pengukuhan peranan badan penguat kuasa telah membuahkan hasil dengan rampasan dan penalti mencecah RM15.5 bilion, selain kemajuan ketara dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, termasuk penyelesaian sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dari sudut ekonomi pula, beliau memaklumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah iaitu RM384.4 bilion, manakala ringgit terus menunjukkan pengukuhan sekitar RM4.11 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Selain itu, katanya, Kerajaan MADANI turut melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam dan gaji minimum, selain usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang hampir mencapai sasaran dengan baki hanya 0.09 peratus.
Mengulas rasional pelantikan baharu dalam Kabinet, Anwar menjelaskan ia dibuat bagi menyuntik nafas serta tenaga baharu di beberapa kementerian.
“Menjawab persoalan mengenai rasional pelantikan baharu dalam Kabinet, saya jelaskan bahawa ia dibuat dengan mengambil kira keperluan menyuntik nafas dan tenaga baharu di beberapa kementerian, termasuk melibatkan lebih ramai tokoh muda bagi menggerakkan agenda reformasi dengan lebih pantas,” katanya.
