18 DIS : Tiada tempoh bulan madu untuk semua menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tempoh diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai prestasi barisan jemaah menteri baharu.
“Perdana Menteri tidak menyatakan dengan khusus tempoh masa akan diberikan tapi sangat jelas, there is no honeymoon period untuk rakan-rakan menteri yang baharu.
“Ada dalam kalangan mereka pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri, jadi banyak daripada perjalanan inisiatif bagi sesebuah kementerian itu agak biasa bagi mereka.
“Cuma ada beberapa yang mungkin baru sahaja menyertai pentadbiran. Bagi mereka mungkin ada sedikit masa untuk mereka memahami selok-belok menguruskan kementerian,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi melahirkan keyakinan Anwar yang juga Menteri Kewangan akan terus memantau prestasi setiap jemaah menteri.
“Tapi saya percaya Perdana Menteri akan memantau dan melalui jemaah menteri untuk memastikan isu-isu dari segi administratif dalam kalangan jemaah menteri dapat diuruskan segera,” katanya.
Selain itu, beliau juga memaklumkan satu pemukiman jemaah menteri akan diadakan pada bulan depan.
“Insya-Allah dalam bulan Januari ini akan diadakan satu pemukiman jemaah menteri untuk pastikan hala tuju, objektif, matlamat dan beberapa perkara yang ingin ditegaskan Perdana Menteri sampai kepada semua dan dapat diberikan ruang untuk bersedia hadapi 2026,” katanya.