18 DIS : Tiada sebarang kenaikan kadar tol terhadap 10 konsesi lebuh raya, tahun depan.
Perkara itu disahkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media di Angkasapuri, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
“Semalam diputuskan bagi tahun 2026, 10 konsesi lebuh raya tidak akan mengalami kenaikan tol dan implikasi kewangan itu akan ditanggung kerajaan,” katanya.
Menurutnya, perincian berkait keputusan itu dijangka akan diumumkan Kementerian Kerja Raya.
Keputusan kerajaan itu menyaksikan kesinambungan kepada penangguhan kenaikan kadar tol yang dibuat pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kerajaan menanggung kos melebihi RM500 juta susulan penangguhan kenaikan kadar tol itu.