119 DIS : Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus (%)selama dua hari pada 23 dan 24 Disember ini kepada pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas.
Diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata susulan pemberian diskaun itu, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat.
“Pemberian diskaun tol 50% ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.
“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya daam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemilihan tarikh ini juga adalah sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua syarikat konsesi lebuh raya memohon supaya semua pengguna memandu dengan berhemah dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
“Berehatlah jika keletihan dan mengantuk dan bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita sentiasa selamat, bersih dan selesa serta berusaha mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia. Selamat Menyambut Hari Krismas 2025. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.
Di samping itu, pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya.
Katanya, pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @LLMtrafik dan Tiktok @llmtrafik secara berkala.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800- 88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat terkini keadaan trafik.
