IMF: Kerajaan MADANI tumpu usaha stabilkan ekonomi
19 DIS : Kerajaan MADANI menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keutamaan Kerajaan MADANI adalah memastikan kestabilan ekonomi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Saya menyambut baik penilaian IMF terhadap ekonomi Malaysia. Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, keutamaan kita kini terus tertumpu pada usaha memastikan kestabilan ekonomi tidak hanya diterjemah dengan bertanggungjawab malah mesti dirasai rakyat melalui sektor dan peluang pekerjaan yang terjamin serta adil dan keyakinan yang tinggi terhadap masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan penilaian IMF itu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk terus mengurus kewangan awam secara berhemah.
“Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan mempercepat pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 agar pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, IMF dalam satu kenyataan menilai ekonomi Malaysia kekal stabil dengan sokongan permintaan domestik dan dasar ekonomi yang berhemat, namun negara masih berdepan risiko luaran yang memerlukan pengukuhan daya tahan serta pelaksanaan reformasi struktur secara berterusan.
Selain itu, IMF menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia sedikit perlahan dalam tempoh terdekat susulan cabaran perdagangan global, namun inflasi dan sistem kewangan negara kekal stabil.