19 DIS : Di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia dan ketegangan perdagangan antarabangsa, Malaysia terus mengekalkan prestasi ekonomi yang stabil dipacu kekuatan permintaan domestik, pelaburan berterusan serta perkembangan positif sektor teknologi global.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam kenyataannya memaklumkan prestasi positif Malaysia turut didorong dasar ekonomi yang mantap apabila pihak berkuasa mengekalkan pendekatan makroekonomi dan kewangan yang berhemat.
Menurut IMF, perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang dimeterai pada Oktober 2025 turut membantu mengurangkan ketidaktentuan dalam kalangan perniagaan dan pengguna di negara ini.
Bagaimanapun, institusi kewangan antarabangsa itu mengingatkan persekitaran global kini semakin mencabar dan ketidaktentuan menjadi kebiasaan baharu, justeru usaha membina semula penampan makroekonomi negara kekal penting.
“Ketahanan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam jangka terdekat, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.
“Kakitangan IMF mengunjurkan pertumbuhan perlahan sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, terutamanya mencerminkan kesan tarif AS yang lebih tinggi ke atas Malaysia.
“Risiko kepada pertumbuhan condong kepada kemerosotan dan mungkin disebabkan terutamanya oleh permintaan yang sangat perlahan dalam ekonomi luaran,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Perundingan Perkara IV 2026 yang berlangsung dari 8 hingga 19 Disember 2025 diketuai Ketua Misi IMF, Masahiro Nozaki bersama pihak berkuasa Malaysia dan pemegang taruh berkaitan.
IMF turut menjelaskan, sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka Malaysia terdedah kepada risiko luaran termasuk kelembapan permintaan global, peningkatan langkah perlindungan perdagangan, ketidaktentuan pasaran kewangan dunia serta potensi kesan daripada perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
Namun, IMF tidak menolak kemungkinan prestasi ekonomi Malaysia menjadi lebih baik sekiranya rundingan perdagangan global berjalan lancar, sektor pelancongan berkembang lebih kukuh daripada jangkaan serta pembaharuan struktur dilaksanakan dengan lebih pantas.
Dari sudut fiskal, IMF mengalu-alukan rancangan kerajaan untuk terus mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan seterusnya kepada 3.0 peratus menjelang 2028.
Menurut IMF, langkah meningkatkan hasil dan perbelanjaan yang berkualiti serta mampan kekal penting memandangkan hutang Kerajaan Persekutuan yang berada pada paras 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024, masih melebihi paras sebelum pandemik.
Inflasi pula diunjurkan kekal stabil dan kembali kepada purata jangka panjang sekitar dua peratus, manakala pendirian dasar monetari semasa dinilai sebagai sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.
IMF turut menegaskan bahawa sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dengan institusi perbankan mempunyai penampan modal dan kecairan yang mencukupi.
Dalam pada itu, IMF menekankan kepentingan pelaksanaan pantas reformasi struktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang yang lebih inklusif, termasuk pembaharuan pasaran buruh serta pengukuhan integrasi perdagangan dan kewangan ASEAN.