19 DIS : Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi meletakkan kesalahan kepada imigran susulan krisis perumahan dan masalah ekonomi dihadapi negara itu.
Beliau menyifatkan kehadiran pendatang tanpa izin memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan.
“Pada masa sama, pendatang haram mencuri pekerjaan rakyat Amerika dan membanjiri bilik kecemasan untuk mendapatkan rawatan kesihatan percuma serta pendidikan yang semuanya dibiayai oleh anda, pembayar cukai Amerika,” katanya.
Trump turut mendakwa kos penguatkuasaan undang-undang meningkat dengan ketara akibat kehadiran pendatang asing, malah disifatkan terlalu tinggi.
Bagaimanapun, pelbagai kajian ekonomi menunjukkan dakwaan itu tidak selari dengan fakta.
Imigran didapati menyumbang lebih besar kepada ekonomi AS khususnya dalam sektor penting seperti pertanian yang memastikan bekalan makanan serta industri pembinaan yang membina kediaman baharu.
Trump, yang sebelum ini pernah menggelar komuniti Somalia sebagai ‘sampah’, turut mengulangi dakwaan tidak berasas dengan menuduh komuniti itu mengambil alih ekonomi Minnesota dan mencuri berbilion dolar.
Namun dakwaan tersebut tidak disokong sebarang bukti.