19 DIS : Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) yang dijadualkan pada 14 sehingga 17 Januari 2026 depan tetap akan diteruskan meski bertembung dengan tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag.
Namun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO memberi kelonggaran kepada perwakilan dari Sabah.
“Keputusan Mesyuarat Biro Politik yang diangkat ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini memutuskan kita akan teruskan Perhimpunan Agung UMNO seperti ditetapkan oleh Perlembagaan.
“Cuma kita beri kelonggaran kepada perwakilan dari Sabah sama ada mereka boleh datang secara fizikal ataupun kita akan buat secara dalam talian supaya mereka boleh sertai sebab tarikh itu di tengah-tengah kempen.
“Insya-Allah, semuanya sudah direncanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan High Innovation Product and Service Expo (HIPEX) 2025 di Kompleks MARA Halal Industrial Park (MIHP), hari ini.
Sebelum ini, UMNO menangguhkan PAU 2025 yang dijadual pada 26 hingga 29 November lalu dipinda kepada 14 hingga 17 Januari tahun depan bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
PRK Kinabatangan dan Lamag ditetapkan pada 24 Januari depan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 10 Januari dan 20 Januari.

*FOTO: FACEBOOK MAJLIS AMANAH RAKYAT