20 DIS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggerakkan inisiatif NADI on Wheels (NOW) ke Pahang bagi menyokong keperluan digital serta kebajikan komuniti yang terjejas akibat bencana banjir.
Menurut MCMC, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memastikan mangsa banjir kekal berhubung dan mendapat akses kepada maklumat penting walaupun berada dalam situasi kecemasan.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui NADI telah menggerakkan inisiatif NOW ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan komuniti yang terjejas akibat bencana banjir di negeri Pahang,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC memaklumkan, antara perkhidmatan yang disediakan kepada mangsa banjir di PPS tersebut termasuk kemudahan Internet percuma, saringan kesihatan asas serta aktiviti Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.
“Pengoperasian NOW ini dilaksanakan susulan peningkatan bilangan kawasan terjejas banjir serta pengaktifan beberapa PPS di negeri berkenaan.
“Dilengkapi dengan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta kemudahan Wi-Fi percuma, NADI on Wheels berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan,” kata MCMC.
Dalam pada itu, MCMC turut menyatakan komitmen untuk terus memantau situasi banjir dan bersedia menggerakkan NOW ke PPS lain dari semasa ke semasa.
Katanya, ia selaras dengan peranan NADI sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi dalam kalangan rakyat.

*FOTO NADI MALAYSIA