Israel luluskan 19 penempatan baharu di Tebing Barat
22 DIS : Kabinet Israel meluluskan pembinaan 19 penempatan baharu di wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Perkara itu diumum Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, pada Ahad.
Keputusan itu dikritik hebat komuniti antarabangsa yang dilihat melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam usaha mewujudkan sebuah negara Palestin merdeka.
Dengan kelulusan terbaharu itu, jumlah penempatan baharu yang dibenarkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini meningkat kepada 69, sekali gus mencatat rekod tertinggi, menurut kumpulan pemantau antipenempatan, Peace Now.
Menariknya, dua daripada penempatan yang diluluskan terletak di kawasan yang pernah dikosongkan semasa pelan penarikan balik Israel pada 2005.
Smotrich, yang terkenal dengan pendirian sayap kanan ekstrem, secara terbuka menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan ‘menghalang penubuhan negara Palestin’.
Dia turut menegaskan kerajaan sedia ada kekal komited untuk memperluas dan mengukuhkan kehadiran Yahudi di Tebing Barat.