23 DIS : Malaysia terus lantang menyuarakan sokongan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan itu terus diberikan meski berdepan tekanan.
“Tatkala kuasa-kuasa besar dunia membisu bahkan menghukum mereka yang bersuara menentang kezaliman rejim Zionis, Malaysia tampil secara terbuka menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan bertindak segera menggerakkan strategi diplomatik bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan yang terlibat.
“Apabila flotilla diserang Israel pada 2 Oktober lalu dan menahan sukarelawan kemanusiaan termasuk 23 anak Malaysia, kita bergerak pantas tanpa berlengah.
“Setiap saat dimanfaatkan untuk merangka strategi, menggerakkan saluran diplomatik dan memastikan keselamatan mereka menjadi keutamaan mutlak negara.
“Alhamdulillah, rundingan tertinggi dengan Turkiye, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat membuahkan hasil. Kesemua wira kemanusiaan kita dibebaskan dengan selamat dan kembali ke tanah air pada 7 Oktober, menjadi berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan ini dengan penuh harapan,” katanya.
Tidak ketinggalan, Anwar sempat membangkitkan soal keberanian peserta misi dalam memperjuangkan nasib rakyat di Palestin.
“Keberanian mereka membelah lautan dan keteguhan jiwa mereka memperjuangkan nasib saudara kita di Palestin meskipun diperlakukan secara biadab dalam tahanan Israel, menjadi cerminan kekuatan solidariti Malaysia.
“Semoga keberanian ini terus menyala dan memandu kita untuk berdiri teguh bersama Gaza hingga keadilan tertegak di bumi Palestin yang merdeka,” katanya.