23 DIS : Kemboja mengesyorkan agar rundingan dua hala dengan Thailand diadakan di lokasi neutral, Kuala Lumpur.
Kementerian Pertahanan Kemboja menyuarakan hasrat itu secara rasmi melalui surat kepada Thailand.
Melalui surat yang bertarikh 22 Disember Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha memohon agar pertemuan itu dipindahkan ke Kuala Lumpur atas faktor keselamatan.
“Demi keselamatan berikutan pertempuran yang masih berlangsung sepanjang sempadan, mesyuarat ini wajar diadakan di lokasi yang selamat dan neutral,” katanya, lapor AFP.
Semalam, Malaysia menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diadakan di Kuala Lumpur susulan konflik sempadan Thailand-Kemboja yang semakin meruncing.
Selepas mesyuarat itu, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow kemudiannya mengumumkan rundingan dengan Kemboja akan diadakan.
Beliau memaklumkan perbincangan itu dijadual berlangsung pada Rabu di Chanthaburi, Thailand menerusi kerangka jawatankuasa sempadan dua hala sedia ada.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh di Thailand dan 21 lagi di Kemboja sementara lebih 900,000 penduduk di kedua-dua negara terpaksa dipindahkan.