24 DIS : Pakatan Harapan (PH) Perlis menyatakan pendirian menyokong kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada sehingga berakhir penggal.
Gabungan itu dalam satu kenyataan menegaskan kestabilan politik merupakan faktor kritikal bagi Perlis.
Menurut PH Perlis, pendirian itu bagi memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar selain mengelakkan menjimatkan kewangan awam dan memelihara mandat sah yang telah diberikan rakyat melalui pilihan raya.
“PH Perlis akan terus berdiri bersama kerajaan negeri sedia ada, institusi raja dan kepentingan rakyat demi memastikan Negeri Perlis ditadbir dengan aman, stabil serta bermaruah sehingga tamat penggal pentadbiran,” menurut gabungan itu.
Selain itu, PH Perlis turut menegaskan mandat rakyat yang diberikan ketika pilihan raya sebelum wajar dihormati dan dipertahankan.
“PH berpandangan bahawa sebarang pergolakan politik dalaman mesti dihentikan segera.
“Pertelingkahan terbuka hanya melemahkan pentadbiran, mencalarkan imej negeri dan mengganggu tumpuan kerajaan dalam mengurus hal-hal asas rakyat,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, PH Perlis turut menggesa kerajaan negeri agar mengamalkan semangat muafakat, mengutamakan perbincangan secara berhemah dan menggunakan kebijaksanaan dalam menangani sebarang perbezaan pandangan.
“Politik yang matang, berhemah dan bertanggungjawab adalah kunci kepada kestabilan serta kemajuan Negeri Perlis,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Perikatan Nasional di negeri itu didakwa menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
*FOTO : UPNP