25 DIS : Kejayaan tiga pelajar Orang Asli di pentas antarabangsa, baru-baru ini menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Tereh, Kluang, Johor itu atas kejayaan memenangi pingat emas di Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia.
“Alhamdulillah. Satu pencapaian yang membanggakan!
“Tahniah saya ucapkan kepada tiga murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor atas kejayaan luar biasa mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kejayaan pelajar dalam Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) menerusi ciptaan robot ‘rover’ itu bukti bahawa anak-anak Malaysia sememangnya berbakat dan berpotensi besar untuk bersaing di peringkat global.
“Dari desa ke pentas dunia, kejayaan ciptaan robot ‘rover’ ini membuktikan bahawa anak-anak Malaysia memiliki bakat dan potensi besar untuk bersaing di peringkat global. Satu pencapaian yang membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk anak-anak muda negara terus melakar lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan. Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia menghantar 15 pelajar Orang Asli dari lima sekolah rendah untuk IRO 2025.