26 DIS : Kemboja mendakwa Thailand terus memperhebat serangan udara di kawasan sempadan yang dipertikaikan di tengah-tengah rundingan sedang berjalan melibatkan kedua-dua negara.
Konflik yang terus memuncak itu sejak awal bulan ini bukan sahaja membatalkan perjanjian gencatan senjata terdahulu, malah mengorbankan lebih 40 nyawa selain memaksa hampir 1 juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Rundingan antara pegawai Kemboja dan Thailand memasuki hari ketiga hari ini, dengan pertemuan melibatkan menteri pertahanan kedua-dua negara dijangka berlangsung esok.
Namun, menurut laporan AFP, Kementerian Pertahanan Kemboja mendakwa tentera Thailand melancarkan serangan udara berskala besar ke atas kawasan sempadan yang dipertikaikan di wilayah Banteay Meanchey pada pagi tadi.
“Dari jam 6.08 hingga 7.15 pagi, tentera Thailand mengerah jet pejuang F-16 untuk menggugurkan hingga 40 butir bom bagi meningkatkan pengeboman di kawasan perkampungan Chok Chey,” menurut kenyataan kementerian itu.
Dalam perkembangan berasingan, media Thailand pula melaporkan tentera Kemboja didakwa melancarkan serangan besar-besaran sepanjang malam di kawasan sempadan wilayah Sa Kaeo, mengakibatkan beberapa rumah penduduk rosak.
Kedua-dua negara menyifatkan tindakan ketenteraan yang diambil sebagai mempertahankan diri, di samping menuduh pihak lawan menyasarkan orang awam.