26 DIS: Seorang pelajar tahfiz di Kelantan menjadi perhatian selepas kemampuan luar biasanya menamatkan ujian syahadah 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 jam tanpa sebarang kesalahan, Ahad lalu.
Kejayaan pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) Pengkalan Chepa, Ahmad Fikri Abdul Hisyam itu membolehkannnya menerima pangkat mumtaz pada usia 16 tahun.
Ahmad Fikri memperdengarkan bacaan hafazannya mulai jam 5.30 pagi hingga 11 malam di hadapan enam panel penilai dan hanya berehat untuk makan serta solat.
Pengetua MTM, Najmuddin Abdullah berkata pencapaian Ahmad Fikri sesuatu yang sangat luar biasa kerana kebiasaannya seorang pelajar tahfiz akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan 30 juzuk al-Quran.
“Kalau ikut kebiasaan pelajar akan buat 10 juzuk sehari, tapi Ahmad Fikri hanya ambil masa 18 jam dalam masa sehari.
“Perkara ini dilakukan atas permintaan dia (Ahmad Fikri) sendiri dan tiada paksaan mahupun tekanan daripada pihak sekolah,” katanya, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, pencapaian Ahmad Fikri ini tular di media sosial.
Kata Najmuddinm sepanjang aliran tahfiz diwujudkan di MTM, tiada pelajar mampu menghabiskan syahadah 30 juzuk.
“Jika diikutkan pada sukatan, pelajar hanya wajib menghafal tiga juzuk setahun iaitu bermula dari Tingkatan Satu hingga Lima.
“Jadi apabila tamat pengajian mereka hanya boleh habiskan 15 juzuk al-Quran, tapi Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk semasa di Tingkatan Tiga serta melakukan syahadah pada Tingkatan Empat,” katanya.