27 DIS : Thailand dan Kemboja akhirnya mencapai kesepakatan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula jam 1 tengah hari waktu Malaysia.
Kesepakatan itu menamatkan pertempuran yang berlaku beberapa minggu di sempadan hingga mengorbankan nyawa rakyat kedua-dua negara dan memaksa ribuan penduduk berpindah.
Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas rundingan selama tiga hari.
Kemboja ketika membacakan kenyataan bersama Jawatankuasa Khas Sempadan Am (SGBC) memaklmumkan, kedua-dua negara bersetuju menghentikan semua bentuk serangan.
“Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas menandatangani kenyataan bersama ini, berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari (waktu tempatan) 27 Disember 2025,” menurut kenyataan itu.
Antara syarat perjanjian yang dipersetujui, Thailand bersetuju memulangkan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan jika gencatan senjata kekal sekurang-kurangnya 72 jam.