Sidang Kemuncak ASEAN satukan pendirian di tengah ketidaktentuan global
21 DIS : Dua Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini menjadi ruang penting untuk menyatukan pandangan serta merapatkan jurang antara negara anggota khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memikul amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam keadaan mencabar.
“Malaysia memikul amanah Kepengerusian ASEAN 2025 pada saat dunia berdepan keresahan dan ketidaktentuan.
“Dalam suasana itu, ASEAN memilih untuk terus berpaut pada semangat kebersamaan, dialog dan saling menghormati.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ke-47 menjadi ruang untuk menyatukan pandangan dan merapatkan jurang,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan tahun ini sebagai detik bersejarah buat rantau ASEAN apabila Timor-Leste diterima sebagai anggota baharu, sekali gus memperluas keluarga besar pertubuhan serantau itu.
Beliau merakamkan setulus penghargaan kepada rakan-rakan ASEAN serta pimpinan dunia yang hadir dengan kebijaksanaan dan keikhlasan demi menjamin kestabilan serta masa depan rantau ini.
“Setulus penghargaan dirakamkan kepada seluruh sahabat ASEAN serta pimpinan dunia yang hadir dengan kebijaksanaan dan keikhlasan demi kestabilan serta masa depan bersama rantau ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan layanan mesra yang diberikan kepada para tetamu sepanjang tempoh kepengerusian.
“Kepengerusian ini mengangkat Malaysia sebagai rakan yang diyakini dalam usaha mengekalkan keamanan, kestabilan dan harapan di rantau ini.
“Semoga ia berkekalan, Insya-Allah,” katanya.
