2 JAN : Tiada sebarang perbincangan setakat ini dalam UMNO berkait kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata isu kerjasama dengan PAS dalam MN yang dibangkitkan sebelum ini hanya pandangan peribadi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Pucuk pimpinan (UMNO) tidak membincangkan perkara itu sehingga kini. Itu pandangan dia.
“Pandangan individu ataupun mungkin pandangan kebanyakan pemuda tetapi parti bergerak atas sokongan dan keputusan bersama oleh pelbagai peringkat. Tak ada (perbincangan). Kita belum mesyuarat lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Malam, hari ini.
Minggu lalu, ketika polemik politik di Perlis memuncak, Akmal mencadangkan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS dan Bersatu dibubarkan dan menghidupkan kembali MN.
MN yang ditandatangani pada 14 September 2019 antara UMNO dan PAS berkubur selepas parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu bersekutu dengan Bersatu dalam PN bagi menghadapi PRU-15.