3 JAN : Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi ketenteraan terhadap Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden AS, Donald Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.
“AS berjaya melakukan serangan berskala besar terhadap Venezuela dan pemimpinnya, Presiden Nicolas Maduro yang ditangkap bersama isterinya dan diterbangkan keluar dari negara itu,” katanya.
Operasi tersebut dilancarkan selepas Washington menuduh Maduro mengetuai sebuah ‘negara dadah’ selain dakwaan memanipulasi proses pilihan raya.
AS tidak pernah melakukan campur tangan secara langsung seumpama ini di Amerika Latin sejak pencerobohan ke atas Panama pada 1989 yang bertujuan menggulingkan pemimpin tenteranya, Manuel Noriega.
Maduro yang menggantikan Hugo Chavez dan memegang tampuk pemerintahan sejak 2013, sebelum ini menuduh Washington berhasrat menguasai rizab minyak Venezuela yang terbesar di dunia.