3 JAN : Kerajaan setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada penyedia platform digital utama termasuk Meta, ByteDance dan Telegram susulan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkembangan perbincangan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pihak penyedia platform masih belum dimaklum kepadanya.
“Kita jangkakan dalam masa terdekat (dapat maklum balas) terutama proses ‘sandbox’ untuk pengesahan identiti pengguna (eKYC) itu akan bermula.
“Sekarang sebenarnya adalah proses untuk mengeluarkan instrumen bagi memaklumkan kepada platform bahawa ONSA adalah terpakai kepada mereka. Itu prosesnya sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026, hari ini.
ONSA yang dikuatkuasa pada 1 Januari lalu menggaris kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.
Akta itu terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Mengulas soal kesediaan platform digital mematuhi ONSA, Fahmi berkata ia bukan isu memandangkan semua pihak terbabit tetap perlu mematuhi undang-undang itu jika ingin terus beroperasi di negara ini.
“Peruntukan ‘deeming’ di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kini bermakna mereka secara automatik berada dalam bidang kuasa undang-undang Malaysia,” katanya.