3 JAN : Pemuda UMNO menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan bagi mengeratkan semula hubungan kerjasama antara parti itu dengan PAS.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kesanggupan itu susulan syor mengembalikan kerjasama dua parti itu mendapat maklum balas positif daripada beberapa pimpinan PAS.
“Kita melihat apabila orang Melayu berpecah, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“Kesilapan lalu apabila UMNO dan PAS berpecah menyebabkan penyatuan Melayu tidak berlaku, sebab itu, saya menghulurkan tangan dan mengesyorkan bahawa penyatuan Melayu mesti diterajui oleh dua parti teras orang Melayu, iaitu UMNO dan PAS.
“Saya dimaklumkan Ketua Pemuda PAS pun menyambut baik cadangan ini dan Ketua Penerangan PAS turut mengeluarkan kenyataan yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ yang berlangsung, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal berkata Pemuda UMNO bersedia untuk berbincang dengan PAS pada bila-bila masa.
Dalam ucapan sama, Akmal menyeru agar partinya meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.
Katanya, tindakan itu tidak akan menyebabkan kerajaan hari ini runtuh susulan sudah menerima sokongan 153 ahli Parlimen.
“Biarlah kita setapak ke belakang untuk melihat jauh pada masa akan datang. Ahli Parlimen yang hadir ini takutkah menjadi ahli Parlimen pembangkang?
“Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini…kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya.
