6 JAN : Kerajaan merekodkan 9,528 kes pendaftaran lewat kelahiran di seluruh negara tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kebanyakan kes itu berpunca daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan.
Menurut Saifuddin, susulan itu ia memberi implikasi besar kepada anak-anak yang menyukarkan akses kepada pendidikan, rawatan kesihatan dan kemudahan asas lain.
“Anak-anak ini tidak bersalah, tetapi terpaksa membesar di luar arus perdana.
“Ada yang hanya berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri selepas belasan atau puluhan tahun, hasil bantuan NGO (badan bukan kerajaan), peguam serta kerjasama jabatan dan pihak berkuasa agama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada bayi berusia setahun empat bulan di Hulu Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata tanggungjawab mendaftar terletak di bahu semua pihak termasuk ibu bapa ahli keluarga serta jiran.
“Di Semenanjung Malaysia, pendaftaran perlu dibuat dalam tempoh 60 hari manakala di Sabah dan Sarawak dalam tempoh 40 hari, dengan proses pendaftaran lewat disediakan bagi kes yang melepasi tempoh itu,” katanya.
Kata Saifuddin meski isu pendaftaran lewat melibatkan angka kecil berbanding populasi negara namun ia perlu ditangani segera susulan impak besar besar terhadap masa depan anak-anak.