6 JAN : Rang Undang-Undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal yang bakal dibentang di Parlimen mampu mengelakkan ketepuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan RUU itu merupakan pencetus perubahan yang dapat membawa pembaharuan besar dalam sistem tadbir urus negara.
“Ini bukan satu ‘game changer’, tetapi kita tidak mahu seseorang Perdana Menteri berkhidmat terlalu lama sehingga berlaku situasi ‘overstay’ yang boleh menyebabkan kesan ‘saturation’ (ketepuan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampailan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.
Menurutnya, perkara itu disaran sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet khas yang kemudiannya dipersetujui jemaah menteri.
“Semalam di dalam mesyuarat Kabinet khas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri yang menyarankan tempoh perkhidmatan mana-mana Perdana Menteri hendaklah tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Januari ini.
Kata Anwar, had tempoh itu perlu ditetapkan bagi menjamin kesinambungan kepimpinan dan membuka peluang kepada generasi pelapis untuk mengambil alih dan meneruskan agenda pembangunan negara.
Menurut Anwar, RUU berkenaan merupakan salah satu langkah reformasi institusi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.