7 JAN : Kerajaan mengurangkan harga runcit RON97, RON95 dan diesel bagi tempoh 8 Januari 2026 hingga 14 Januari 2026.
Kementerian Kewangan memaklumkan pengurangan itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 5 sen kepada RM3.11 seliter, RON95 tanpa subsidi sebanyak 2 sen kepada RM2.54 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 5 sen kepada RM2.89 seliter bagi tempoh 8 Januari 2026 hingga 14 Januari 2026.
“Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kementerian itu.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).