Kepimpinan berintegriti mula dari peringkat tertinggi : Agong
7 JAN : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu bagi memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Baginda bertitah menegaskan rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengingatkan bahawa kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.
Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah baginda di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap PTD baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hari ini.
Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan itu adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
