7 JAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan merampas wang tunai kira-kira RM2.4 juta yang dipercayai cuba dilarikan pagi tadi.
Wang itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata wang tunai itu cuba dipindahkan dari sebuah rumah ke rumah yang lain.
“Semalam pegawai kita dapat maklumat dan pagi tadi saya dimaklumkan bahawa kita menjumpai lebih kurang RM2.4 juta wang yang cuba dilarikan oleh seorang subjek.
“Pagi tadi kita dapat wang berkenaan dalam bentuk tunai. Ini antara wang salah seorang subjek yang terbabit dalam kes ini, yang cuba dilarikan dari satu kediaman ke kediaman lain.
“Ini kita syak adalah wang yang menjadi subjek dalam siasatan kami,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas melawat Media Prima Berhad, hari ini.
Semalam, 17 daripada 26 pengarah syarikat disyaki terbabit dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM direman selama lima hari.
Kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 60-an itu ditahan malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
Menurut laporan itu, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan TDM sebagai balasan untuk mendapatkan projek pembekalan dan penyelenggaraan dengan agensi itu.
SPRM dijangka mengambil keterangan seorang pegawai kanan tentera yang sedang disiasat berhubung aliran tunai besar dalam akaun banknya, dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.