Lawatan rasmi PM perkukuh hubungan dengan Turkiye
7 JAN : Lawatan sulung rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye merupakan langkah strategik Malaysia memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan itu juga membawa makna yang mendalam secara peribadi susulan hubungan rapat beliau dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Kunjungan ini memang saya anggap penting. Presiden Erdogan bergurau, kalau saya tidak datang bulan Januari, dia tidak mahu berkawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di Ankara, hari ini.
Beliau yang berlepas ke Turkiye semalam bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kunjungan rasmi itu lebih bermakna buat kedua-dua negara.
“Insya-Allah, pertemuan ini akan lebih bermakna untuk menjalin persahabatan dua negara, hubungan dagang, pelaburan dan kerjasama diplomatik, selain bidang pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.
Menurutnya, kunjungannya ke Turkiye sebelum ini atas dasar kemanusiaan dan diplomasi termasuk ketika tragedi gempa bumi melanda negara itu serta berkait isu Palestin untuk mendapatkan sokongan negara Islam.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan tadbir urus negara kini membolehkan Malaysia menumpu kepada kepada pembangunan rakyat termasuk memperkukuh peranan diplomasi ekonomi di mana hasilnya dapat dilihat melalui prestasi pelbagai bidang.
“Kalau dulu hubungan diplomasi semata-mata, kini duta dan pegawai Kementerian Luar turut gigih mempromosikan perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA