7 JAN : Kerajaan mempertingkat aspek keselamatan di kesemua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terjejas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah ia bagi mengurangkan kes kecurian berulang lagi.
“Sebagai langkah susulan, NADI sedang melaksanakan penilaian keselamatan di pusat-pusat NADI yang terlibat termasuk penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar.
“Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas dan memperkukuh peranan komuniti setempat dalam pencegahan jenayah,” kata suruhanjaya itu.
Dalam kenyataan sama, MCMC menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan tindakan bersepadu pihak berkuasa dalam menahan suspek bagi siri kes pecah masuk dan kecurian melibatkan NADI di Johor.
“MCMC merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Johor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atas tindakan menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam siri kes pecah masuk dan kecurian melibatkan NADI di negeri Johor.
“Bagi tempoh antara September hingga Disember 2025, sebanyak 13 kejadian pecah masuk melibatkan NADI telah direkodkan di Johor, mengakibatkan kehilangan wang tunai serta kerosakan aset,” menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, insiden-insiden tersebut bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian NADI dan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat.
“Penahanan suspek ini merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara PDRM Kontinjen Johor, khususnya JPJKK Johor dengan IPD Pontian, bersama MCMC dan pengurusan NADI.
“Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi NADI di Johor, sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti,” kata MCMC lagi.
*FOTO : FACEBOOK NADI MALAYSIA