Negara membangun tidak harus terikat dengan AS, China
7 JAN : Masa depan sesebuah negara membangun tidak semestinya terikat dengan ‘telunjuk’ kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hala tuju negara itu perlu ditentukan sendiri tanpa bergantung kepada kuasa-kuasa itu.
Tegas Anwar, sesebuah negara itu memerlukan pendirian strategik yang seimbang, berprinsip serta berpaksi kepada kepentingan nasional dan serantau.
“Penting bagi negara-negara membangun dan ekonomi sedang pesat membangun untuk menyedari bahawa masa depan kita tidak semestinya terikat kepada telunjuk kuasa besar, sama ada AS atau China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Umum bertajuk ‘Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye’ di Ankara, Turkiye, hari ini.
Mengulas soal pendekatan Turkiye melalui kepimpinan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan, Anwar berkata pendirian strategik itu menekankan penglibatan aktif dan agresif dengan kuasa besar dunia.
“Ia adalah pendirian strategik untuk terlibat secara agresif dan aktif demi manfaat negara dan rantau kita, dengan membina hubungan kukuh dengan AS dan China sambil pada masa yang sama memahami dan menerima hakikat bahawa rantau kita, khususnya Asia Tenggara, mempunyai potensi yang amat besar untuk bekerjasama secara berkesan dalam perdagangan, pelaburan dan semua bidang berkaitan,” katanya.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Malaysia kekal menyokong Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai asas kepada sistem pelbagai hala yang berkesan seperti Turkiye.
Namun beliau berkata Malaysia bersedia untuk menyertai inisiatif baharu bagi memperkukuh jaringan perdagangan dan kerjasama ekonomi.
“Sebab itulah kami menyertai inisiatif baharu yang dapat meluaskan hubungan dalam penjajaran perdagangan baharu seperti BRICS, dan apa-apa bentuk pengukuhan rangkaian negara Dunia Ketiga.
“Saya menyebut secara khusus BRICS kerana saya, seperti ramai orang lain, berasa teruja dan menyokong keperluan untuk membina kerjasama baharu dan pakatan baharu yang akan memberi manfaat kepada kita,” katanya yang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye.
