8 JAN : Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang membolehkan kelahiran anak di luar negara mendapat status warganegara secara kuat kuasa undang-undang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penguatkuasaan pindaan itu mengambil masa susulan terdapat beberapa persiapan penting yang perlu dilakukan pihaknya.
“Bagi tahun 2026 ini, kita meletakkan sasaran sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini untuk pindaan tersebut mula berkuat kuasa.
“Tempoh yang agak lama diambil selepas Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan itu kerana terdapat beberapa persiapan penting yang mesti diselesaikan antaranya pindaan kepada Citizenship Regulation 1964 dalam dua versi bahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Selepas itu, kita perlu mempersiapkan dokumen dan borang-borang berkaitan serta memaklumkan kepada malawakil Malaysia di seluruh dunia. Seterusnya, proses perkenan dan pewartaan Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan.
“Jika semua milestone ini berjalan lancar, kita menyasarkan Jun atau Julai bagi membolehkan kelahiran anak di luar negara dalam kes ini mendapat status warganegara secara kuat kuasa undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri Tahun 2026, hari ini.
Mengulas soal permohonan kewarganegaraan lain, Saifuddin berkata ia tetap berjalan dan tidak tertangguh.
“Sambil perkara ini dilaksanakan, adakah keputusan permohonan kewarganegaraan lain tertangguh? Jawapannya tidak. Sehingga semalam, saya masih membuat keputusan terhadap permohonan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi tahun 2025, saya menetapkan sasaran untuk membuat keputusan terhadap 20,000 permohonan kewarganegaraan. Sehingga semalam, laporan pegawai menunjukkan saya telah membuat keputusan terhadap 20,032 permohonan, melepasi KPI (penunjuk prestasi utama) sebanyak 32 permohonan,” katanya.
Menurut Saifuddin, daripada hampir 50,000 permohonan tertunggak ketika mula memegang jawatan itu, baki permohonan kini kurang daripada 4,000 sahaja.
“Saya optimis permohonan tertunggak selama 5 tahun hingga 15 tahun ini dapat diselesaikan. Menjelang suku pertama tahun ini, permohonan lama yang tertangguh akan dibuat keputusan.
“ Selepas itu, kita akan membuka lembaran baharu dengan pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan kelahiran di luar negara,” katanya.
