8 JAN : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kebimbangan antarabangsa apabila mencadangkan peruntukan belanjawan ketenteraan sehingga AS$1.5 trilion bagi tahun 2027, jauh lebih tinggi berbanding AS$901 bilion pada 2026.
Cadangan yang disuarakan menerusi media sosial pada Rabu itu menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik berskala besar, lapor Xinhua.
Melalui hantaran di Truth Social, Trump berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan panjang dengan pemimpin politik negara itu.
“Selepas rundingan yang panjang dan sukar dengan senator, Ahli Kongres, setiausaha dan wakil politik lain, saya memutuskan demi kebaikan negara kita, khususnya dalam keadaan yang amat bergolak dan berbahaya ini, belanjawan ketenteraan kita bagi 2027 tidak seharusnya AS$1 trilion, sebaliknya AS$1.5 trilion,” kata Trump.
Beliau menegaskan peruntukan besar itu penting bagi menjamin keselamatan negara.
“Ini akan membolehkan kita membina ‘Tentera Impian’ yang selayaknya menjadi hak kita dan yang lebih penting, memastikan kita kekal selamat dan terjamin tanpa mengira siapa musuhnya,” katanya lagi.
Trump turut mendakwa peningkatan belanjawan itu boleh direalisasikan hasil kutipan besar daripada tarif.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas operasi ketenteraan AS di Venezuela yang menyaksikan Presiden negara Amerika Selatan itu, Nicolas Maduro ditawan bersama isterinya.
Pada pertengahan Disember lalu, Senat AS meluluskan rang undang-undang dasar pertahanan bernilai AS$901 bilion yang sebelum itu diluluskan Dewan Perwakilan.