10 JAN : Seramai 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikenal pasti terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral.
Perkara itu didedahkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris melalui satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pegawai tersebut dikenal pasti susulan siasatan awal yang dijalankan.
Tegasnya, TUDM tidak akan berkompromi terhadap perlakuan tersebut dan akan dibawa ke pengadilan.
“Siasatan awal mendapati seramai 20 orang Pegawai TUDM yang telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti tidak bermoral ini yang melanggar Perintah dan Direktif semasa.
“Tiada kompromi dan saya akan pastikan kesemua pegawai yang terlibat dibawa ke pengadilan berlandaskan peraturan semasa,” katanya.
Norazlan berkata pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran Perintah, Direktif dan Peraturan.
“Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan bagi TUDM.
“Pihak TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap Perintah, Direktif dan Peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau mewakili pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku.
“Pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berkait aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera.