10 JAN : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 100 tidak dibenar menerima pelawat buat masa ini susulan keadaan kesihatannya.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff memaklumkan proses pemulihan Dr Mahathir dijangka mengambil masa lama atas faktor usia.
“TunDr Mahathir masih meneruskan rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN) bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat jatuh pada 6 Januari lepas di kediamananya di The Mines.
“Mengambil kira faktor usia Tun Dr Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama.
“Buat masa ini juga Tun Dr Mahathir tidak dibenar menerima pelawat kecuali keluarga terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Dr Mahathir akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan.
“Setelah berbincang dengan doktor-doktor pakar dari IJN, HUKM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) dan HKL (Hospital Kuala Lumpur) diputuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik baginya,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih daripada Dr Mahathir dan keluarga atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan bekas pemimpin itu.
Selasa lalu, Dr Mahathir dilaporkan terjatuh di kediamannya awal pagi dan dimasukkan ke IJN untuk menerima rawatan sebelum disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan.