KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian dan memandang serius berkaitan penganjuran program bertajuk ‘Glamping With Pride’ oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki di Malaysia termasuk penyediaan sokongan rakan sebaya dan advokasi berkaitan isu kesihatan, khususnya HIV.
JAKIM ingin menegaskan bahawa sebarang usaha atau pendekatan yang menormalisasikan perlakuan seks songsang adalah jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran agama Islam, di samping ia bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun serta kerangka perundangan negara.
Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.
Perkara ini sememangnya telah berada dalam pemantauan rapi JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pihak berkuasa memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam masa yang sama, JAKIM akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup kerana ia jelas bertentangan dengan agama, undang-undang dan budaya setempat.
Sebarang perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam tidak akan dikompromi. Semua pihak adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.
Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)