12 JAN : Semua anggota dan pegawai tentera di negara ini diberi amaran keras susulan ada yang terlibat dalam budaya ‘yeye’ hingga mencemar nama baik kementerian itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertegas amalan keji itu sudah lama diharamkan di seluruh kem di negara ini.
“Panggillah dengan apa nama sekalipun, ‘yeye’, ‘yaya’ atau apa sahaja. Ia adalah perkara keji, tidak bermoral dan bercanggah dengan cara hidup Islam.
“Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM sememangnya sudah lama mengharamkan kegiatan yang tidak bersahsiah ini di semua kem di seluruh negara, dan kita sudah menetapkan peraturan serta garis panduan yang jelas dan tegas berkaitan segala aktiviti sosial yang boleh diadakan di kem.
“Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang sepatutnya membendung apa-apa unsur mungkar dalam kalangan anggota kita. Aktiviti-aktiviti haram dan tidak bermoral sebegini tidak sepatutnya berlaku lagi di mana-mana kem kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan, hari ini.
Beliau turut menegaskan semua pihak yang terlibat dengan perbuatan keji itu tidak akan terlepas daripada hukuman.
“Kepada sesiapa sahaja yang terbabit dalam semua kemungkaran moral ini yang merosakkan imej mulia ATM, kita akan pastikan anda semua dihukum dan tersingkir dengan keji daripada perkhidmatan.
“Amaran saya juga kepada mereka yang menghabiskan masa bermain golf di luar waktu yang dibenarkan, atau bersembang kosong di kedai kopi semasa waktu bekerja, disiplin ketenteraan akan kita tegaskan dan kuatkuasakan.
“Masa bekerja adalah masa untuk kerja-kerja yang bermanfaat dan membangun, bukan sebaliknya. Justeru, kembalilah kepada waktu kerja yang sebenar dan bekerjalah dengan bersungguh-sungguh,” katanya.