13 JAN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempertimbangkan tindakan saman terhadap X susulan kegagalan platform itu mematuhi undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata platform media sosial itu gagal memastikan keselamatan pengguna terutama membabitkan kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.
“Jika platform media sosial gagal mematuhi keperluan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia termasuk aspek keselamatan pengguna, tindakan undang-undang boleh diambil.
“MCMC kini sedang mempertimbangkan untuk menyaman X kerana kegagalan memastikan keselamatan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kandungan yang dijana melalui kecerdasan buatan (AI) di platform media sosial itu berpotensi mencetuskan perdebatan tidak sihat serta kandungan tidak sesuai khususnya kepada golongan bawah umur.
Dalam pada itu katanya, MCMC akan mengadakan perbincangan dengan semua platform media sosial bagi memastikan pematuhan terhadap akta sedia ada.
“Insya-ALLAH menjelang pertengahan tahun ini, kita menyasarkan kerjasama penuh semua platform media sosial untuk menghadkan akses dan penyebaran kandungan media sosial tertentu khususnya kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas sahaja,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya kini sedang menumpu kepada usaha untuk menjadikan ruang Internet itu lebih selamat terutama bagi kanak-kanak dan remaja.
“Anak-anak kita bermain media sosial setiap hari. Jadi tanggungjawab kerajaan adalah memastikan ruang digital ini selamat dan tidak memudaratkan.
“Kenyataan lanjut serta perincian tindakan yang bakal diambil akan dimaklumkan oleh MCMC dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menyekat sementara akses AI, Grok milik X itu susulan penyalahgunaan berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
*Foto: Facebook NADI Malaysia