Lewat keluar MyKad remaja 17 tahun sebab sijil kelahiran tidak sah
13 JAN : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak kenyataan seorang peguam yang memberi gambaran seolah-olah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sengaja berlengah untuk melaksanakan perintah mahkamah.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata JPN perlu melalui proses pengeluaran sijil kelahiran yang sah sebelum mengeluarkan MyKad bagi kes melibatkan remaja 17 tahun itu susulan sijil kelahiran asalnya diperoleh secara tidak sah.
“Proses mesti bermula dengan langkah pertama, iaitu pengeluaran sijil kelahiran yang sah. Sijil kelahiran asal diperoleh secara tidak sah melalui sindiket, maka ia perlu digantikan dengan sijil kelahiran yang sah melalui pendaftaran lewat, memandangkan umur anak ini 17 tahun, selaras dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
“Untuk mendapatkan sijil kelahiran, hanya perlu mengisi borang. Proses ini mudah dan telah dilalui oleh ramai rakyat Malaysia tanpa sebarang masalah. Dakwaan bahawa JPN mempersulitkan proses kerana meminta pengesahan wakil rakyat atau pegawai kerajaan adalah tidak benar.
“Pengesahan boleh dibuat oleh wakil rakyat, pegawai kerajaan atau mana-mana pihak yang berkenaan. Ini bukan syarat baharu atau pelik. Gambaran bahawa untuk mendapatkan kewarganegaraan perlu sokongan wakil rakyat adalah tidak tepat dan tidak adil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Back To School anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JPN akan tetap melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah untuk memastikan remaja tersebut memperoleh kewarganegaraan.
Menurut Saifuddin, mahkamah sebelum ini mengarahkan JPN agar memberikan kewargangeraan kepada seorang kanak-kanak berusia 17 tahun dan peguam terlibat mengeluarkan kenyataan berkait kes itu.
“Namun, kenyataan yang dibuat oleh peguam ini memberi gambaran yang tidak tepat, seolah-olah JPN sengaja melengahkan proses dan mempersulitkan pelaksanaan keputusan mahkamah. Apa yang tidak disebut oleh peguam tersebut ialah, pertama, kes ini memang berada dalam makluman JPN.
“Kes ini bermula apabila ibu bapa kepada anak ini hadir ke JPN untuk membuat MyKad. Melalui penampilan fizikal, didapati anak ini dan ibu bapanya langsung tidak seiras. Siasatan mendapati ibu bapa mengakui bahawa maklumat kelahiran anak ini diperoleh daripada sebuah hospital swasta yang berada dalam senarai hitam JPN kerana terlibat dalam sindiket mengeluarkan maklumat kelahiran secara tidak sah.
“Ibu bapa mengetahui bahawa sijil kelahiran anak ini diperoleh secara tidak sah ketika bayi. Apabila anak ini meningkat usia, perbezaan tersebut menjadi ketara. Pengakuan ini tidak disebut oleh peguam berkenaan,” katanya.
