14 JAN : UMNO tidak sesekali akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak termasuk sekutu politik dalam Kerajaan Perpaduan jika tiga garis merah dilanggar.
Ia melibatkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta kedaulatan Raja Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu perlu menghantar amaran yang jelas untuk semua pihak.
“Kita perlu menghantar isyarat yang jelas, keras dan tuntas khususnya kepada golongan berhaluan kiri, kelompok liberal atau sekutu politik yang cuba menangguk di air keruh.
“Jangan sesekali melanggar garis merah ini. Jangan sangka kerana kita mahu kestabilan politik, kita akan pejam mata bila asas negara diganggu gugat. Umno tidak akan diam membisu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.
Mengulas lanjut, Mohamad memberi amaran kepada rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak akan teragak-agak meninggalkan kerjasama jika ada garis merah yang dilanggar.
“Kita akan bangun, bersuara dan menentang habis-habisan sesiapa juga, kawan atau lawan yang cuba merobek tiga teras utama ini.
“Ini adalah amaran keras. Kita sedia bekerjasama demi rakyat dan negara, tetapi jika tangan gatal mula sentuh agama, bangsa dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada,” katanya.
Tegas Mohamad, meski landskap politik sentiasa berubah namun prinsip UMNO akan kekal walau menjalin kerjasama dengan mana parti sekali pun.

*FOTO : FACEBOOK UMNO ONLINE