14 JAN : Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan masih terdapat beberapa kaedah pelepasan imigresen bagi urusan pergerakan keluar masuk negara meski selepas pelaksanaan aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).
Melalui satu kenyataan, KDN berkata ini termasuk MyBorderPass, pagar automatik biasa melalui imbasan pasport atau kaunter pemeriksaan fizikal.
Menurut KDN, pengguna aplikasi MyNIISe perlu mendaftar MyDigital ID selewat-lewatnya pada 15 Januari 2026 untuk terus menggunakan aplikasi itu.
“KDN mengingatkan orang ramai yang sudah mula menggunakan aplikasi MyNIISe untuk mendaftar MyDigital ID selewat-lewatnya pada 15 Januari 2026 untuk terus menggunakan MyNIISe bagi tujuan pemeriksaan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
“Walau bagaimanapun selepas 15 Januari 2026, pengembara yang belum mempunyai MyNIISe masih mempunyai pilihan untuk menggunakan autogate MyBorderPass, autogate biasa melalui imbasan pasport atau kaunter pemeriksaan fizikal untuk urusan pergerakan keluar masuk negara,” menurut KDN dalam kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, bagi pengguna baharu yang mula menggunakan aplikasi MyNIISe selepas 15 Januari 2026, pendaftaran MyDigital ID adalah merupakan satu keperluan wajib.
Manakala pengguna sedia ada masih boleh log masuk aplikasi MyNIISe menggunakan kaedah sedia ada sehingga tempoh percubaan MyNIIse pada 28 Februari 2026 bagi tujuan pendaftaran dan memperbaharui MyDigital ID mereka.
“Penggunaan MyDigital ID ini akan membolehkan semua pengguna menikmati akses kepada fungsi-fungsi tambahan MyNIISe yang akan diperkenalkan selepas tamat tempoh percubaan pada 28 Februari 2026 dan akan diperluaskan pengunaannya secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1 dan 2, Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu,” menurut KDN.
Mengulas soal MyDigital ID, KDN menegaskan ia berfungsi sebagai kunci keselamatan digital bagi log masuk ke aplikasi MyNIISe.
KDN juga menjamin tiada data peribadi disimpan dalam aplikasi MyDigital ID yang hanya digunakan untuk mengesahkan identiti pengguna melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara tepat, tanpa menyimpan sebarang maklumat peribadi di dalam aplikasi.
Selain itu, ia juga bagi keselamatan transaksi secara digital bagi mengelakkan penipuan identiti digital, akses juga lebih selamat dan dipercayai di mana MyDigital ID memastikan proses log masuk yang selamat serta menyokong pelaksanaan perkhidmatan imigresen digital negara secara berperingkat.
KDN menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan pendigitalan perkhidmatan awam secara selamat, berfasa dan berfokuskan rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan.