15 JAN : Kerajaan hanya akan membatalkan sekatan sementara terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) X, Grok jika platform itu dapat menyelesaikan isu penghasilan kandungan memudaratkan sepenuhnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pengendali X itu mesti membuktikan bahawa kandungan berbentuk video atau imej yang boleh disalahguna tidak lagi dihasilkan.
Tegasnya, perkara itu perlu demi menjamin keselamatan kanak-kanak dan keluarga dalam penggunaan media sosial.
“Sekiranya mereka berjaya untuk menyahaktifkan dan tidak membolehkan penghasilan bahan-bahan yang dianggap online harm ataupun mudarat ini maka kerajaan akan menghentikan sekatan sementara ke atas Grok.
“Kita ingin pastikan platform media sosial ini lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga…bebas daripada penipuan, bebas daripada perkara-perkara seperti masalah Grok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT), hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sementara akses Grok susulan penyalahgunaan berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
Sebelum keputusan itu diambil, MCMC memaklumkan notis sudah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang- undang namun tiada tindakan pemulihan diambil.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata sekatan yang dibuat itu bagi memastikan kemajuan teknologi hari ini tidak disalah guna untuk tujuan jenayah.
“Jadi, proses itu saya lihat setelah kita menjalinkan hubungan dan perbincangan dengan platform, saya percaya cara ini lebih positif.
“Kita tidak menyekat tetapi ingin pastikan tidak berlaku masalah penyalahgunaan platform terutama oleh penjenayah dan untuk tujuan jenayah,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata meski terdapat laporan bahawa beberapa prompt yang membolehkan penghasilan imej tidak sesuai melalui AI Grok sudah dinyahaktifkan namun MCMC memaklumkan tindakan itu masih belum menyeluruh.