Kerajaan jamin pelihara kebebasan berkarya
15 JAN : Kerajaan MADANI memberi jaminan akan terus memelihara kebebasan berkarya di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia demi memastikan penggiat seni tempatan dapat menghasilkan karya yang lebih berkualiti.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebebasan berkarya dipelihara agar penggiat seni dapat menghasilkan karya yang lebih berani, berkualiti dan bermakna untuk masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, hari ini.
Menurutnya, pertemuan dengan Yusof yang juga pengarah dan penerbit tersohor negara itu bagi membincangkan perkembangan serta hala tuju industri perfileman tempatan.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan mendalam mengenai pelbagai cabaran dan potensi industri kreatif.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai cabaran dan potensi industri kreatif, termasuk isu cukai hiburan yang dibangkitkan, yang akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti, yang disifatkan berjaya mengangkat isu rasuah dan integriti secara berani dan berkesan.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti sebelum ini yang menyentuh isu rasuah dan integriti serta menghargai sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan dan kebebasan bersuara,” katanya.
