15 JAN : Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menghormati keputusan peletakan jawatan dibuat EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Namun beliau berkata, keputusan menerima atau tidak peletakan jawatan itu merupakan prerogatif mutlaknya sebagai ketua menteri negeri berkenaan.
“Saya menghormati pengumuman dibuat Dr Akmal, Ketua Pemuda UMNO berhubung hasrat beliau untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Melaka pada ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025, hari ini.
“Saya menantikan surat rasmi peletakan jawatan daripada Dr Akmal. Sama ada peletakan jawatan ini diterima atau sebaliknya, ia adalah prerogatif mutlak saya sebagai Ketua Menteri Melaka, selaras dengan peruntukan dan amanah yang diberikan oleh parti serta rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan pengumuman dibuat Akmal, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ab Rauf berkata beliau menghormati cara Akmal berkarya yang lantang serta berani dalam perjuangan.
Kata Ab Rauf, dalam politik, keputusan besar menuntut jiwa yang besar.
Namun katanya, sebagai Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional Melaka, setiap keputusan berkaitan pentadbiran negeri perlu dibuat secara bijak, matang dan berpaksikan kepentingan rakyat Melaka secara keseluruhan.
“Saya menghormati semangat dan cara YB Merlimau ‘berkarya’ dengan roh dan idealisme Pemuda yang lantang, berani dan penuh semangat perjuangan.
“Melaka akan terus melangkah ke hadapan. Dengan kebijaksanaan Tuah, keberanian Jebat dan kesetiaan yang tidak pernah berbelah bahagi kepada rakyat,” katanya.