17 JAN : UMNO berhasrat untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah kolaborasi agung tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat itu ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, hari ini yang mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.
“Saya mohon persetujuan untuk kita membentuk ‘grand collaboration’ atau kolaborasi agung bagi menyatukan seluruh politik Melayu dan Islam di seluruh negara untuk berada di bawah satu gabungan kolaborasi dengan tidak berhajat menggugat Kerajaan Perpaduan sedia ada.
“Yang saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang. Dengan ini, risikan dan pinangan itu diterima dengan rasminya. Dengan syarat tidak mengganggu gugat Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini,” katanya.
Beliau sempat menyatakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak risau dengan hasrat itu kerana tiada sebarang agenda ‘tebuk atap’ akan berlaku.
“Perdana Menteri jangan risau. Saya tidak akan ada agenda untuk ‘tebuk atap’ atau mahu menggugat Kerajaan Perpaduan tetapi semata-mata bertujuan menterjemah keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti Melayu dan Islam di bawah satu bumbung demi menterjemah agenda Islam dan Melayu.
“Mudah-mudahan, jika ini dapat kita terima dan menjadi satu usul yang dikemukakan Presiden sendiri kepada seluruh perwakilan dalam PAU 2025,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kolaborasi itu mampu mengetepikan perbezaan warna dalam parti Melayu dan Islam.
