17 JAN : Pelakon, Nadia Kesuma yang sebelum ini dilapor hilang semasa transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Khamis lalu disahkan sudah meninggalkan lapangan terbang itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Imigresen Arab Saudi mengesahkan perkara itu kepada Malaysia.

“Beliau ke Arab Saudi dengan syarikat pengendali umrah dan rekod menunjukkan Nadia telah keluar dari lapangan terbang Jeddah di Arab Saudi.
“Imigresen di Jeddah sudah menunjukkan beliau telah pun keluar daripada lapangan terbang Jeddah. Kita nak buat laporan polis tapi perlu tunggu 20 jam kerana peraturan di situ. Saya telah arahkan Pejabat Konsulat di Jeddah buat yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2025, hari ini.
Nadia atau nama sebenarnya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50 gagal dikesan ketika transit di lapangan terbang itu dari Kuala Lumpur ke London, Khamis lalu.
Dalam pada itu, beliau meminta pihak keluarga bertenang dan meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengesan Nadia.
“Pihak agensi pelancongan tak boleh lepas tangan begitu sahaja. Perlu bertanggungjawab. Kita cuba yang terbaik.
“Kita yakin pihak berkuasa terutama Royal Police Saudi Arabia akan membantu dengan baik kerana kecekapan mereka di situ bagus juga. Kita mesti percaya akan kecekapan mereka. Kita minta supaya pihak keluarga bertenang dan kita akan terus berusaha sebaik mungkin untuk mencari beliau,” katanya.