19 JAN : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baginda dalam titahnya hari ini menegaskan setiap individu yang terlibat rasuah termasuk pemberi, penerima dan orang tengah akan diburu sehingga dapat.
“Suka saya ingatkan di sini, segala perancangan dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa. Saya pernah beritahu dulu, yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam ATM sampai peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya patut lantik sarjan sahaja jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera).
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau tip of the iceberg. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, baginda menyeru agar rakyat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang salah laku.
Titah baginda, tindakan mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan rasuah tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. ERakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah bukan sahaja penerima yang patut disiasat tetapi pemberi rasuah dan ejen yang bersuhabat juga mesti dikenakan tindakan.
“Pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mesti jalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Kerajaan juga perlu menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Justeru itu, baginda mengingatkan semua wakil rakyat dan penjawat awam bahawa mereka pengkhianat negara jika menyeleweng amanah rakyat.
“Kesemua ahli yang berhormat dan penjawat awam ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.
“Jika awak menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuh atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara,” titah baginda.