19 JAN : UMNO tampil sebagai platform penyatuan politik Melayu dan Islam dengan mengemukakan gagasan kolaborasi agung untuk jangka panjang sambil menegaskan sokongan berterusan kepada Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata pendirian itu mencerminkan pendekatan UMNO yang berdisiplin apabila menolak sebarang agenda menggugat kerajaan sedia ada, sebaliknya meletakkan kolaborasi agung sebagai tawaran penyatuan yang tidak bersifat paksaan.
Menurut beliau, konsep kolaborasi agung yang diketengahkan UMNO juga bertujuan mengumpulkan seluruh entiti politik Melayu-Islam di bawah satu payung dengan UMNO diposisikan sebagai Rumah Bangsa yang menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.
“Kolaborasi ini adalah satu cadangan dan hantaran oleh UMNO di mana parti itu membuktikan kemampuan mengumpul sokongan sebanyak mungkin sejak sebelum merdeka, selepas merdeka dan semasa penubuhan Malaysia.
“UMNO memanggil kolaborasi agung ini bagi mengumpulkan semua entiti orang Melayu demi menjaga dan mempertahankan hak-hak orang Melayu terutamanya ketika berdepan dengan DAP yang dikatakan cuba merobek kepentingan serta kesepakatan orang Melayu,” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat parti itu untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah kolaborasi agung tanpa menggugat Kerajaan Perpaduan ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025,di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), 17 Januari lalu.
Pada 16 Januari, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi ucapan dasarnya di PAU 2025 itu berkata UMNO akan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli secara individu atau en bloc.

Prof Dr Azmi Hassan (kiri) dan Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
Dalam pada itu, Azmi berkata ucapan pergulungan UMNO perlu dilihat bersama ucapan dasar parti yang bermula dengan konsep Rumah Bangsa di mana UMNO dilihat sebagai payung penyatuan.
Kata Azmi, sekiranya Muafakat Nasional gagal dijelmakan kerana UMNO tiada peranan di dalamnya dan usaha Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Payung Besar juga tidak berjaya, konsep Rumah Bangsa kini hanya dapat direalisasikan melalui peranan UMNO.
“Strategi penyatuan ini dilaksanakan melalui penubuhan jawatankuasa yang diketuai Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi menyatukan semua entiti tidak kira parti politik atau NGO yang mempunyai kepentingan dalam agama Islam dan orang Melayu.
“Jawatankuasa ini juga memudahkan bekas-bekas ahli UMNO serta individu yang sebelum ini tidak pernah bersama parti untuk menyertai UMNO dalam usaha penyatuan ini.
“Kolaborasi agung ini bertujuan mengajak semua parti dan entiti berkepentingan untuk berbincang dengan UMNO bermula sekarang, tetapi ia tidak menjurus kepada penubuhan organisasi kerjasama politik kerana sebarang kerjasama rasmi hanya akan direalisasikan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan UMNO dilihat mengemukakan cadangan kolaborasi agung yang berasaskan logik penggabungan kekuatan politik Melayu-Islam, namun pelaksanaannya dijangka berdepan cabaran struktur dan hubungan antara parti yang sudahlama bersaing.
Menurut beliau, dari sudut kesannya terhadap Kerajaan Perpaduan, sebarang usaha penyatuan sedemikian berpotensi mengubah imbangan kuasa dalaman dan meningkatkan peranan UMNO tetapi memerlukan kefahaman bersama bagi memastikan keharmonian gabungan kekal terpelihara.
“Cadangan ini mempunyai asas rasional dari sudut matematik politik Melayu-Islam, tetapi realisasinya memerlukan iltizam dalam jangka pendek kerana wujud perbezaan ideologi, sejarah persaingan, isu kepercayaan serta soal kepimpinan antara parti-parti terlibat.
“Jika ia tidak direalisasikan, UMNO perlu memperkukuh identiti dan agenda reformasinya sendiri kerana kegagalan menyatukan blok Melayu-Islam berisiko mengekalkan perpecahan undi Melayu…namun UMNO tidak boleh dipersalahkan kerana bergerak ke arah penyatuan dan perpaduan ummah,” katanya.
OLEH : AISYAH BADRUL