19 JAN : Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuat laporan polis berikutan isu kebocoran maklumat, semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkatamaklumat didakwa pergerakan kenaikan pangkat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didedahkan secara terbuka sebelum pelantikan memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Ia termasuk bagi jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT).
“Keputusan mengenai pelantikan jawatan tertinggi dalam ATM mesti dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang akan memberi cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi setiap jawatan yang dibincangkan, dua atau tiga nama akan disyorkan dan bukan hanya satu nama.
“Bagaimanapun, apa yang disebarkan kepada umum hanya menyatakan satu nama dan itu seolah-olah memberikan gambaran bahawa keputusan sudah dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian SASaR Residensi Sateria @ Sungai Besi, hari ini.
Menurut Khaled, sebarang pendedahan maklumat sebelum pelantikan itu mendapat perkenan Agong merupakan perkara yang tidak wajar.
Tegasnya, pendedahan berkait pegawai kanan ATM itu menimbulkan risiko keselamatan.
“Sebagai contoh, ATM tidak akan mendedahkan siapa yang memerintah kem-kem tertentu, siapa bertanggungjawab untuk unit logistik atau artileri, serta peranan operasi seseorang pegawai kanan.
“Ia kerana tindakan itu boleh mendedahkan maklumat keselamatan yang penting. Ini semua berkaitan isu keselamatan.
“Mendedahkan siapa individu-individu itu, jawatan dipegang dan bagaimana mereka bergerak, bakal membuka risiko yang sepatutnya tidak wujud,” katanya.
Semalam, MINDEF dilaporkan berkata tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit berkenaan dalam media sosial.