Nilai perdagangan Malaysia cecah RM3 trilion
20 JAN : Nilai perdagangan negara berjaya mencecah angka RM3 trilion buat pertama kali tahun lalu, rekod tertinggi dalam sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan Malaysia itu didorong trend perdagangan positif selain hubungan perdagangan yang baik dengan rakan dagang termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.
“Bagi sembilan bulan pertama 2025, pelaburan diluluskan ialah RM285.2 bilion iaitu pertambahan 13.2 peratus ketimbang tempoh sama 2024.
“Pelaburan diluluskan adalah tertinggi dalam sejarah setelah RM329.5 bilion pada 2023 dan RM384.4 bilion pada 2024.
“Tetapi satu kenyataan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah, yang akan diumumkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) pada 12 tengah hari ini iaitu trend perdagangan positif dan tertinggi dalam sejarah.
“Sejarah tercipta dan angka itu akan diumumkan secara terperinci tengah hari ini dengan jumlah perdagangan untuk tahun 2025 mencecah RM3 trilion buat pertama kalinya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkait usaha kerajaan dalam menghadapi ketegangan perdagangan dan geopolitik global.
Justeru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam usaha meningkatkan prestasi ekonomi negara, kerajaan meneroka bidang dan pasaran baharu.
Katanya, meski beberapa dasar kuasa besar yang tidak menentu memberi kesan kepada Malaysia namun kerajaan bertindak segera bagi menghadapi ketidaktentuan itu.
“Baik soal tarif ataupun beberapa keputusan yang melibatkan negara-negara lain, Eropah, soal Greenland, soal Venezuela yang menyebabkan terjejas sedikit sebanyak urusan perdagangan antarabangsa dan juga penembusan pasaran baru.
“Kerajaan Malaysia realistik untuk melihat kenyataan ini. Alhamdulillah setakat ini selain daripada rakan perdagangan kekal yang lama, AS, Eropah, China, kita juga telah berjaya menerobos ke rantau dan juga kawasan baru untuk meningkatkan pasaran dan juga perdagangan,” katanya.